Oct 23, 2018

Kebun menghijau di belakang rumah, selepas hujan 2 minggu

Sydney biasanya kering dan kemarau, jadi suasana hijau ni memang jarang2 terjadi.  Saya abadikan suasana hijau yang 'rare' ini untuk tatapan anak cucu.  

Video ni diambil selepas beberapa hari tiba dari Malaysia selepas bercuti 2 minggu.  Sebelum ini risau siapa nak jaga pokok2 semasa saya tiada di rumah, pesan berulang kali pada anak2 untuk siram pokok setiap hari sebab cuaca yang kering. Tak sangka sepanjang saya tiada, hujan turun berterusan selama 2 minggu.

Antara pepohon yang ada di kebun waktu ni, paw paw, betik, cosmos, asparagus, serai, karot, dan  strawberi.


Sep 27, 2018

Cara2 Pangkas Anggur Yang Betul



Ummi baru nak berjinak2 tanam anggur dan sedang belajar cara pangkas yang betul.  Suka cara pekebun ini.  Anggur yang ummi beli ialah Thompson, sama macam pokok pertama yang belau pangkas.  Thompson dipangkas secara cane pruning.  Mudah-mudahan berjaya. Kena tunggu musim sejuk tahun depan, sekitar bulan Julai di Sydney, untuk kerja2 pemangkasan.

Jul 28, 2018

Pokok Strawberi di Belakang Rumah



Pertama kali ummi tengok strawberi segar di ladang semasa di Canada. Sejak tu ummi bercita2 nak tanam strawberi sendiri.

Di Malaysia, ummi pernah tanam strawberi.  Tapi tanpa ilmu dan pengalaman, strawberi pertama hampir mati sebelum ummi gantung bawah pokok, berhujan berpanas.  Sejak tu hidup subur semula dan beranak pinak.  Di negara panas, strawberi mesti disiram dengan air ais @ hujan,  barulah dia boleh keluarkan bunga dan buah. 



Strawberi pertama di Sydney, ummi beli tahun 2015. Beranak pinak, sehingga ummi ada 40 pokok strawberi pada tahun 2016, dan hampir 200 pokok pada tahun 2017.


Julai 2016: Putik-putik buah semakin banyak.
 

Ogos 2016:  buah pertama dari pokok induk sudah masak


Beberapa hari kemudian, buah2 seterusnya masak satu persatu.


Ogos 2016: Anak2 kepada pokok induk baru nak berbunga dan berputik

 Nov 2016: Musim bunga hampir berakhir, strawberi berbuah buat kali terakhir



Dec 2016:   hari semakin panas, strawberi sudah mula keluarkan sulur anak untuk membiak


April 2017:  sepanjang musim panas, strawberi tak berhenti membiak


Mei 2017:  cari bekas2 polisterin untuk pindahkan anak2 strawberi


Mei 2017:  Pasu-pasu juga sudah mulai dipenuhi anak2 strawberi


Jun 2017:  Sebahagian dipindahkan ke batas


Jun 2017:  Satu lagi batas, strawberi ditanam berselang seli dengan pokok bunga


Julai 2017:  strawberi dalam pasu mulai masak


Ogos-Okt 2017:  strawberi paling banyak masak ketika ini


Nov 2017: pokok2 mula berbuah buat kali kedua musim ini


Dec 2017:  beli kamera baru, dapat zoom in buah2 strawberi masak dengan mudah




Buah2 strawberi Disember 2017

Ummi ambil keputusan untuk pastikan cuma pokok yang sihat sahaja akan hidup hingga tahun berikutnya.   Jadi sepanjang musim panas dan kering (Januari - Mac 2018), ummi langsung tak jaga dan tak siram pokok2 strawberi di kebun.   Sehinggalah banyak pokok yang mati kekeringan.

Bulan April 2018, hujan turun selama seminggu dan beberapa pokok strawberi yang nampak seperti mati mula mengeluarkan pucuk.   Dari beberapa puluh pokok yang masih hidup, ada yang mula membiak  dan beranak pinak terutama semasa hujan selama 2 minggu berturut2 pada awal Jun. 

Akhirnya pada penghujung Jun 2018,  musim sejuk di Sydney, sekitar 150 pokok strawberi mula hidup subur di kebun.


Jun 2018:  batas kedua dari kiri  dan batas terakhir menempatkan pokok2 induk dari tahun lepas  yang hidup semula selepas hujan beberapa hari.  Selainnya adalah anak2 dari induk tersebut.  Selepas April, barulah ummi siram setiap hari supaya subur.   

Masalah utama batas  ini ialah setiap batas terlalu kecil dan sempit.   Setiap kali disiram, air pasti akan mengalir terus ke longkang di kiri dan kanan batas.   Berlaku pembaziran air, sedangkan batas tetap kering.



Julai  2018:   untuk selesaikan masalah air, ummi mesti lebarkan batas.  Caranya, satukan batas pertama+kedua, dan batas ketiga+keempat.   Sebelum itu, ummi letak banyak2 dulu baja buatan sendiri di dalam longkang antara kedua  batas yang nak disatukan.  

Dan hasilnya seperti gambar di atas. Sebahagian besar air  yang disiram dapat meresap terus di atas batas, dan sedikit sahaja yang terbazir ke dalam longkang.

2019: panas melampau, kemarau panjang dan jerebu hampir setiap hari di Sydney dan timur Australia, buatkan kebun umi tidak elok dan tak berapa menjadi tahun ini.  Pokok2 kekal berdaun seperti pokok kaduk dan betik juga hampir mati, kotor dan berjelaga hitam daunnya akibat debu pembakaran hutan yang terbang jauh hingga ke tempat kami. Matahari dan langit nampak merah walau belum senja lagi.


2020: Syukur tahun ini Allah kurniakan hujan yang banyak sekali.  Walau ada pokok2 kebun  yang mati kerana akar busuk akibat  terlalu lembab, tetapi pokok strawberi nampak sangat suka berada dalam hujan.

Antara bunga dan putik pertama 2020


Buah yang mulai masak terpaksa dikurung kerana slug membuak semasa musim hujan


Batas utama mula berputik

Buah dari batas utama yang masak awal


Batas strawberi di halaman rumah

Batas besar. Di sini saya kumpulkan anak2 strawberi yang tumbuh merata untuk hidup.


Masalah besar tahun 2020 ini ialah slug yang menjadi2 banyaknya kerana sukakan wet and cool.  Sebab tu mana2 buah yang terjaga, akan dikarung dalam tali plastik ini.

May 20, 2018

Pisang Nipah di Sydney

Musim Panas 2022



Sejarah Pisang  Nipah dari tahun 2016

Anak  pokok pisang nipah ni dapat dari jiran kami, benih dari Vietnam yang sudah lama dibawa semasa keturunan mereka berhijrah ke Australia.  Di Australia, pisang ini dipanggil Lady Finger Banana.  

Sekarang dah tak boleh bawa anak benih pokok dari luar, memang kena campak buang di imigresen Sydney.  Kena denda beratus dollar, dan kalau pelancung, mungkin dihantar pulang.



Anak pisang ditanam bermula bulan Mei 2016, saya agak umurnya antara 3 - 5 bulan.  Semasa pokok dah setinggi siling rumah pada permulaan musim panas Disember 2017,  saya cantas separas pinggang.  Nampak pokok jiran terlalu kurus dan tinggi semasa pisang berbuah.  



Induk yang dicantas dan anak pisang pertama muncul Mei 2017


Pokok yang dicantas baru keluar 5 helai daun semasa jantung pisang muncul  pada 8 April 2018, lebih kurang 2 tahun selepas ditanam dan 4 bulan selepas pokok dicantas.


Induk sudah keĺuar jantung, dan anak2 pisang

Sisir buah pertama muncul sebulan kemudian.  Malangnya buah keluar pada bulan Mei yang sudah mula sejuk di Sydney.  Sempat 3 sisir sahaja yang keluar, sisir ke 4 terus kering hitam, gugur tak jadi buah sebab malam sudah terlalu sejuk sekitar 10 °Celcius. 




Akhir bulan Mei 2018, buah pisang masih kecil lagi.  Buah terus terhenti pembesaran sepanjang 3 bulan musim sejuk antara Jun dan Ogos 2018. Tunggu apa akan jadi selepas tamat musim sejuk.

Update Oktober 2018
Rupa dan saiz buah pisang sekarang sama serupa seperti bulan Mei, kecuali semua daun dan batang  sudah kering.  Warna hijau  muda buah sudah bertukar hijau kusam. Saya tunggu sebulan, masih sama tiada perubahan saiz dan warna.

Oleh kerana batang pisang sudah betul2 uzur dengan daun kering coklat, terpaksalah potong juga buah dan simpan dulu sehari dua. Barulah nampak ada perubahan warna  nampak macam nak masak, saiz tetap sama. Bila kelopak pisang dibuka, syukurlah buahnya sudah lembut dan boleh dimakan.  Bau, texture, dan rasa sama seperti buah pisang nipah di Malaysia. 


Jan 2019
Tahun ini adalah tahun ketiga kemarau di  nsw,  dan tahun ini musim panasnya sangat kering, sangat panas sehingga pernah mencapai 48 ° Celcius.

Anak pisang pertama yang tumbuh Mei 2017, keluar jantung pada akhir Mei 2019.  Tetapi pokok yang kurang subur akibat kemarau,  ditambah buah keluar semasa hampir musim sejuk, buatkan buah pisang yang terhasil pun sangat kecil, terbantut keras dan tak boleh dimakan.  


September 2019, setelah musim sejuk berakhir, semua daunnya mati kering, batang pisang lemah, dan buahpun keras tanpa isi, saya tebang pokok pisang ini dan buat baja pisang organik sahaja.  Cincang2 dan tanam dalam tanah yang bakal dijadikan batas strawberi.  

Bermula Sept 2019 hingga Dis 2019, berita di media dan TV pastilah tentang kebakaran hutan.  Kerana jerebu dan habuk hitam di udara, index uv pun sentiasa diparas bahaya, saya jarang keluar ke kebun ketika ini dan gambar pisang langsung tiada.

Gambar matahari dari jauh dan close up.


Jelaga2 hitam dari hutan2 terbakar di sekitar Sydney kerap jatuh di atas dedaun dan buatkan pokok2 termasuk pisang kurang subur.  Apatah lagi pisang sukakan air yang banyak.  Setakat sebaldi dua air setiap hari cuma cukup2 untuk teruskan hidup sahaja.  Ration air juga dimulakan bila paras air di empangan sudah jatuh ke paras minimum.

Tahun lepas, umat Islam di Sydney buat solat sunat memohon hujan bila petani2 di pedalaman kehilangan hasil pertanian dan ternakan akibat kemarau. Tahun ini, buat solat sunat memohon hujan kerana kebakaran hutan yang seolah2 tak akan berhenti selepas berbulan lamanya.

Hanya Allah yang dapat padamkan 
api yang sedang marak ini




Update 2020
Alhamdulillah, setelah berbulan2 panas kering dan kebakaran besar di hutan2 sekitar Sydney, Allah turunkan  hujan lebat sehingga banjir sedikit di kawasan perumahan saya pada awal Januari, Feb, dan  Mac 2020.  Hujan lebat selama lebih seminggu akhirnya memadamkan semua api yang masih tersisa di hutan.

Anak pisang kedua yang tumbuh Feb 2018, mula keluar jantung pada Feb 2020 dan kali ini ada 5 sisir pisang, sempat membesar dan tuai pada Sept 2020.  Kecil sedikit dari pisang nipah di Malaysia tapi sedap.   Dapatlah buat pisang goreng dan berkongsi dengan  jiran tetangga. 

Tulisan berlatar kuning adalah tarikh
 lahir pohon pisang.  Pohon paling tua
 dah berusia hampir dua tahun.




Anak pisang ketiga tumbuh Mei 2019.  Tetapi semakin lama daunnya semakin kecil dan tidak membesar.  Disember 2019, saya cangkul ia sehingga ke akar dan pindah tanam di sebelah pokok betik.  Barulah dia mahu meninggi sedikit dan tumbuh daun2 baru.

Dalam gambar2 di atas, nampak daunnya kecil sahaja terselit di bawah pokok betik.  Anak2 pisang ke 4 dan ke 5 yang tumbuh kemudian pada Oktober 2019 dan Jan 2020 pun sudah lebih subur daripadanya.  


Update 2022

Tiada pokok pisang berbuah pada tahun 2021, sebab pokok yang tumbuh Mei 2019 dan sepatutnya sudah berusia 2 tahun dan patut berbuah, masih terbantut kecil lagi.  Satu lagi pokok pisang terbantut ialah yang lahir Okt 2020.  Sehingga kini masih kecil lagi.  Pokok2 yang tumbuh kemudian pun sudah besar darinya.

  

Pokok2 pisang kali ini sangat subur kerana hujan mencurah2 setiap bulan bermula Jan 2022.  Sydney dan pantai2 sekitanya mendapat hujan yang sangat banyak ketika ni. Sama seperti di Malaysia, beberapa tempat berdekatan sungai mendapat banjir kilat beberapa hari tahun ini.

Pokok pisang yang tumbuh Okt 2019, hanya mula keluar jantung pada Jan 2022.   Di bawah gambar perkembangan tandan pisang dari mula hingga kini. Pada bulan Mei, buahnya sudah nampak berisi dan besar, seperti pisang nipah di Malaysia. 







Perkembangan pada bulan Mei sangat penting kerana biasanya itulah saiz maksimum buah pisang. Pembesaran terhenti sepanjang musim sejuk bermula Jun, dan pisang akan mula masak bila cuaca panas semula bermula September.  Saiznya takkan membesar lagi selepas 'tidur' 3 bulan. 

Masyaallah, ada 5 anak pisang sedang membesar ketika ini dan ada 2 anak pisang bantut yang saya agak takkan membesar, tetapi masih hidup. Gambar di bawah, saya label tarikh lahir masing2.  Yang tak nampak,  pisang yang sedang berbuah dan pokok bantut yg lahir Mei 2019.